Wednesday, August 12, 2009

Ramadhan Tanpa Bonda

Ramadhan yang bakal menjelang tidak lama lagi mengingatkan kembali akan kepulangan Bonda ke rahmatullah pada bulan syawal tahun lepas. Ramadhan 1429 Hijrah merupakan ramadhan terakhir dapat ku hayati bersama Bonda. Bonda pulang menemui Penciptanya setelah menahan kesakitan selama 4 bulan. Ramadhan 1429 hijrah juga merupakan ramadhan yang pertama (selepas aku menjadi dewasa), aku menyambut sepenuhnya di negeri asalku, Terengganu.

Hampir 18 tahun aku merantau keluar dari kampung halaman mencari rezeki dari KL ke Johor, Johor ke Sabah, balik ke Semenanjung dan menetap sekejap di Negeri Sembilan, akhirnya bekerja di Kuala Lumpur dan membeli rumah serta menetap di Rawang, Selangor.

Pada bulan November 2007, aku meletakkan jawatan sebagai Senior Manager disebuah syarikat dan mengambil keputusan untuk balik ke Terengganu. Ku tinggalkan segala kehebatan Kuala Lumpur, ku tinggalkan kawan-kawan, ku tinggalkan jiran-jiran yang telah ku kenali lebih dari 10 tahun, ku tinggalkan rumah yang telah ku ubahsuai dan ku tinggalkan pangkat dan kerja yang selesa untuk kembali ke Terengganu...demi seorang Bonda. Ku tinggalkan segala-galanya itu supaya dapat ku berjumpa ibuku sekurang-kurangnya sekali seminggu.

Alhamdulillah, Allah SWT telah berikan aku kesempatan selama 6 bulan untuk aku meluangkan masa bersama-sama bonda...duduk dikerusi di halaman rumahnya dan melihat pandangan orang lalu lalang sambil melayan bicara dengan Bonda. Banyak yang dibicarakannya dan selalunya berkisah mengenai anak-anaknya termasuklah aku.

Setiap kali berbicara dengan Bonda, aku cuba sedaya upaya untuk tidak menyakiti hatinya, cuba melayan bicara hatinya sebaik mungkin. Aku cuba praktikkan firman ALLAH SWT dalam Surah
Al-Israa' Ayat 23-24 yang bermaksud,

"Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka ( sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "ah", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakan kepada mereka perkataan mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata), " Wahai Tuhanku! Cucurkanlah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil."

Setiap masa kelapangan, aku akan menjenguk bonda dan kadang-kadang aku datang semasa bekerja bersama rakan sekerja. Masih ku ingat kata-kata rakanku itu selepas berjumpa Bonda, " Mak demo mace muko demo...nampok sihat lagi dio". Rupa-rupanya dalam kelihatan sihat itu Bonda mengidap penyakit kencing manis kronik yang hanya dikesan sebulan selepas itu. 2 jari kaki kanannya terpaksa dipotong dan seterusnya penyakit tersebut menjadi 'asbab' kepulangannya ke Rahmatullah dalam bulan Syawal yang lalu.

Semasa menyambut Ramadhan sebelum pemergiannya, Bonda dalam keadaan yang amat lemah menyebabkan dia tidak dapat berpuasa. Sepanjang ramadhan tersebut, aku sentiasa menziarahinya hampir setiap hari untuk melihat keadaannya dan menatap wajahnya. Aku lakukan ini kerana pernah teringat kata-kata seorang ustaz ,

"Ada lima perkara apabila kita menatapnya akan mendapat pahala iaitu melihat Kaabah, mushaf al-Quran, melihat wajah ibu bapa, orang alim dan memandang wajah suami isteri dengan penuh kasih sayang,"

Setiap kali apabila hendak berpisah, aku akan mohon keampunannya dan Bonda juga tidak pernah lupa ucapkan, "Mok pun mintak maaf gok, Di". Bagaimanakah aku seorang anak ingin maafkan seorang ibu yang tidak pernah membuat kesalahan pada diriku..yang jika adapun sedikit rasa ketidakpuasan hatiku terhadapnya, telah kubuang jauh-jauh...aku telah redha Bonda menjadi Ibuku didunia dan diakhirat.

Ramadhan datang lagi tahun ini dan seperti biasa ianya akan disambut dengan kegembiraan bagi orang-orang yang mencari rahmat dan redha Allah. Bulan dimana diturunkan Alquran sebagai petunjuk dan menjadi pembeza antara yang hak dan yang batil sepertimana firman Allah yang bermaksud,

" ..Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan menjadi pembeza ( di antara yang hak dengan yang bathil),"
Sural Al-Baqarah Ayat 185.

Ya, Ramadhan datang lagi dan kali ini akan ku sambut tanpa Bonda disisi. Tiada lagi wajah Bonda untuk kutatapi, tiada lagi bicara Bonda yang dapat ku dengari.... hanya doa yang dapat kukirim.. semoga bonda tenang disisi Ilahi.

No comments:

BUKU-BUKU TERKINI DARI TELAGA BIRU


Get paid for your opinions! Click on the banner above to join Planet Pulse. Its totally free to sign up, and you can earn UNLIMITED. Find out more by visiting PLANET PULSE.
Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH